Saturday 29 October 2011

CINTAKU HANYA UNTUKMU 4

             Kehangatan diri saya dalam dunia percintaan......memberikan kesan dalam rentak kehidupan yang saya lalui kerana saya semakin bersemangat untuk pergi kerja dan semakin rajin belajar. Agaknya inilah nikmat keghairahan dunia percintaan yang sedang saya lalui. Walaupun saya telah mempunyai makwe yang jauh di perantauan tetapi di sini saya tetap mengekalkan prestasi kerja dan seiringan dengan itu saya akan terus belajar kerana ada ketika apabila sampai waktunya tumpuan kerja dan pelajaran saya sedikit terjejas........ Inilah agaknya yang dikatakan "mabuk bagi insan yang tengah bercinta" tetapi syukurlah kerana saya mempunyai seorang PA yang banyak mermbantu saya menyelesaikan urusan kerja jika saya tiada di pejabat. Mungkin PA saya semakin rajin dan baik dengan saya kerana mengharapkan dapat lagi setem yang cantik dan makanan kegemaran beliau iaitu coklat daripada saya. Tak kisahlah asalkan semua urusan kerja saya tiada masalah.......
            Sewaktu saya berada di pejabat tengah hari itu saya menerima panggilan telefon dari jauh.............. Makwe saya yang telefon kerana waktu itu beliau boleh membuat panggilan dengan kadar yang paling murah kerana ada promosi sempena hari krismas. Waktu itu di sana sebelah malam dan saya di sini waktu makan tengah hari kerana perbezaan masa antara kami ialah 14 jam. Makwe saya kata.......kadar panggilan yang paling murah boleh dibuat antara jam 7 malam hingga jam 7 pagi sahaja. Lama juga saya bersembang untuk melepaskan rasa rindu di hati ini. Rasa bertuahnya saya kerana mempunyai seorang makwe seperti dia........
            Makwe saya ni suka pergi melancong kerana pada waktu cuti semester sahaja beliau dan rakan-rakan akan pergi melancong. Antara tempat yang beliau pernah lawati ialah New York (naik ke atas bumbung bangunan World Trade Centre yang telah dibom pada 11 September untuk melihat pemandangan bandar New York dari atas), Washington D.C (bergambar di depan White House), Chicago (melawat bangunan tertinggi di dunia ketika itu iaitu "Sears Tower"), Los Angeles (melawat Universal studio dan Disneyland), San Francisco (melawat muzium lilin) dan beberapa buah lagi negeri di USA. Selain daripada suka melancong beliau juga boleh berbahasa Perancis kerana itulah beliau suka melancong ke tempat-tempat yang menarik. Beliau juga pernah pergi ke Niagara Falls, Kanada untuk melihat air terjun yang merupakan salah satu air terjun yang terbesar di dunia.
             Sedang saya leka bersembang melalui telefon......... PA saya kata ada orang datang untuk berjumpa dengan saya. Orang daripada jabatan kastam dan eksais di raja kata PA saya. Saya beritahu pada makwe saya ada orang datang nak jumpa dengan saya dan jika ada peluang untuk buat panggilan paling murah macam ini boleh telefon saya lagi. Akhir bicara saya mengucapkan salam sayang dan rindu selalu yang teramat rindu daripada saya dan ketahuilah cintaku hanya untukmu..........
                     ...................teruskan bersama PE.............hari bekerja 7........

Thursday 20 October 2011

CINTAKU HANYA UNTUKMU 3

            Masa terus berlalu dan masa juga telah mendewasakan kita dalam menempuh dugaan hidup ini. Semakin masa berlalu semakin pasrah saya rasakan erti sebenar diri kita apabila mencintai atau dicintai oleh orang lain. Lebih-lebih lagi jika orang yang kita cintai itu berada jauh di sisi kita....... Hanya surat-surat yang dapat menyampaikan luahan isi hati dan rindu ini kepadanya dari kejauhan ini. Malah jika rindu semakin menebal tanpa saya sedari tangan ini teringin sangat untuk mengangkat gangang telefon untuk membuat panggilan antarabangsa. Hanya dengan cara itu saja yang paling cepat untuk menghubungi serta dapat mendengar suara yang dirindui itu.
           Jika menulis surat......sekurang-kurangnya 2 atau 3 minggu baru menerima balasan itupun jika urusan pos berjalan dengan lancar. Surat menyurat saya menggunakan alamat di tempat kerja agar surat itu akan terus sampai ke tangan saya tetapi selalunya setiap surat yang saya terima telah hilang setemnya. PA saya telah mengambil setem di surat saya itu kerana PA saya mempunyai hobi mengumpul setem. Setem-setem yang ada di sampul surat yang makwe saya poskan itu cantik-cantik belaka kerana itulah setiap surat yang saya terima telah hilang setemnya.
           Selain daripada meletakkan setem yang cantik-cantik......makwe saya juga akan mengirimkan bermacam-macam jenis coklat kerana di sana coklat-coklat tersebut amat mudah didapati serta harganya yang murah. Lagipun waktu itu pos malaysia tidak melarang untuk meletakkan apa-apa barang dalam setiap surat yang dihantar........ Coklat yang dihantarnya adalah seperti M&M, Snickers, Hershey's, Mr Goodbar dan lain-lain lagi yang saya pun dah lupa namanya. Ada antara coklat itu yang tidak terdapat di Malaysia pada ketika itu. Selain daripada coklat-coklat, barang-barang lain yang selalu saya terima ialah seperti "key-chain", kad yang ada muzik, pewangi dan lain-lain lagi yang sehingga sekarang ini saya masih menyimpannya. Setiap kali makwe saya pergi bercuti, mesti ada "souvenir" yang akan dikirimkan kepada saya.
           Sebenarnya banyak hadiah dan surat-surat cinta kami yang masih saya simpan lagi cuma ada beberapa barang dan gambar kami yang telah rosak kerana sewaktu saya tinggal menyewa di Kota Damansara, tiba-tiba pada suatu hari tangki air di atas bumbung rumah saya itu bocor sehingga menyebabkan seluruh ruang tamu serta stor tempat menyimpan barang-barang saya basah. Waktu itu semua barang ini saya simpan di dalam kotak tetapi apabila seluruh ruang stor itu basah dimasuki air hampir semua kotak-kotak yang ada telah koyak dan tumbang.......sebab itulah banyak barang kenangan cinta antara kami musnah......... Yang paling saya terkilan apabila gambar-gambar peribadi dan fail yang ada semua maklumat panggilan telefon kepada makwe saya juga musnah......... Pernah saya jumlahkan keseluruhan bayaran panggilan telefon saya iaitu sebanyak lebih kurang RM14,700 untuk tempoh 2 tahun setengah saya menelefon makwe saya.
          Syukur........satu fail yang mengandungi semua surat cinta dan kad-kad ucapan antara kami tidak musnah....... Saya ada memberi cadangan agar surat-surat cinta atau kad-kad ucapan antara kami di paparkan di dalam blog ini tetapi dibantah oleh anak-anak saya terutamanya isteri saya. Surat-surat cinta dan kad-kad ucapan yang ada ini adalah hasil tulisan dan daya kreatif antara kami yang dapat menghasilkan ungkapan-ungkapan indah puisi cinta antara kami berdua sebagai bukti betapa sehati sejiwanya kami semasa bercinta........ini kerana cintaku hanya untukmu.......
           Kenapa isteri dan anak-anak saya membantah.........?....... Adakah kerana isteri saya kini adalah  orang lain dan bukannya makwe yang saya ceritakan di dalam blog ini........?........ Ikutilah kisah saya seterusnya.........
                       ...................teruskan bersama PE...........cintaku hanya untukmu 4.............

Monday 17 October 2011

CINTAKU HANYA UNTUKMU 2

            Setelah sampai waktunya makwe saya akan berangkat ke luar negara pada jam 11 malam di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Malam tu saya pergi sekejap sahaja berjumpa beliau dengan membawa sekuntum bunga mawar putih sebagai tanda perpisahan. Saya pun tidak berani untuk berjumpa lama-lama kerana keluarga beliau ada di sana pada waktu itu.
           Penerbangan bermula dari lapangan terbang Subang ke lapangan terbang Heathrow, London. Bagaimanapun kapal terbang singgah sebentar di Dubai selama lebih kurang 2 jam untuk pembersihan kapal. Ingatkan dah subuh tapi rupa-rupanya baru pukul 2 pagi waktu di sana sedangkan di Malaysia dah nak subuh. Penerbangan diteruskan dan sampai ke lapangan terbang Heathrow jam 8 pagi waktu di London. Kalau dikira-kira dah hampir 16 jam dalam perjalanan. Boring juga duduk lama-lama dalam kapal terbang. Penat membaca tidur, puas tidur bangun dan sambung membaca. Kalau tidak pun berbual-bual dengan teman-teman jika kebetulan mereka pun tak tidur.
           Setibanya di lapangan terbang Heathrow (lapangan terbang keempat tersibuk di dunia), terpaksa bertukar pesawat lain kerana MAS hanya sampai di Heathrow sahaja. Kali ini terpaksa naik "Trans World Airline". Dah le kecil, serba-serbinya kena bayar. Nak dengar radio guna "headphone" pun kena sewa. Kedekut betul.... Penerbangan ke New York pada pukul 2 petang. Oleh itu, masa dihabiskan dengan melawat-lawat sekitar lapangan terbang dan "shopping" sikit-sikit kat "Duty Free". Macam-macam ada sehinggakan majalah yang mencolok mata pun ada. Subhanallah......
           Ketika nak berlepas ke New York, terpaksa menjawab soalan-soalan dari pihak imigresen dan kastam kerana dikhuatiri pelajar-pelajar Malaysia ni membawa barang-barang yang berbahaya dan mencurigakan. Semua beg-beg digeledah dan diperiksa. Maklum le orang-orang Islam ni dipandang serong oleh orang bukan Islam di sana lebih-lebih lagi sehari sebelum terdapat kejadian cubaan merampas pesawat. Alahai nasib-nasib.........
           Lebih kurang pukul 5 petang waktu tempatan, sampailah ke lapangan terbang John F. Kennedy, New York. Lagi sekali terpaksa bertukar pesawat ke Washington D.C pada jam 7 malam. Bagaimanapun tertinggal pesawat kerana masalah kelewatan ketika mengambil bagasi. Terpaksa tunggu penerbangan jam 9 malam dan akhirnya selamat sampai ke Washington D.C lebih kurang sejam kemudian. Pegawai MSD (Jabatan Penuntut Malaysia) telah menunggu dan membawa semua pelajar-pelajar Malaysia ke hotel. Keesokan harinya diberikan beberapa taklimat oleh para pegawai.
           Setelah berada 2 malam di sana, bertolak pula ke destinasi masing-masing tetapi kali ini dengan menaiki bas (nak jimat kos le ni). Bermalam di Atlanta, Georgia dan meneruskan perjalanan sehingga selamat sampai ke destinasi iaitu Wichita Falls, Texas.
           Pengalaman sepanjang perjalanan itu makwe saya ceritakan kepada saya setelah hampir 2 minggu beliau berada di luar negara. Waktu tu beliau menelefon saya di rumah makcik saya. Terkejut makcik saya siapa pulak yang telefon saya pada jam 3 pagi ni. Tak sangka juga saya kerana makwe saya sudi menelefon saya pada masa itu dan tanpa saya sedari kami telah bersembang hampir waktu subuh. Selepas itu saya terus mandi untuk solat subuh dan terus bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Sayang sekali kerana pada masa itu kami tidak ada kemudahan internet seperti sekarang ini....... Jika tidak tentu kami akan lebih berjimat kerana menggunakan telefon lebih mahal bayarannya.
           Bila dah tahu bahawa saya boleh menelefon terus makwe saya di sana melalui panggilan antarabangsa........saya kerap juga menelefon bila ada masa yang sesuai kerana ada ketikanya telekom mengadakan promosi panggilan antarabangsa. Ada ketika sedang orang lain tidur lena di waktu tengah malam tetapi saya akan buat panggilan ke luar negara kerana itulah waktu yang sesuai untuk bersembang. Itu pun bergantung kepada keadaan kewangan saya kerana setiap panggilan yang saya buat biasanya antara RM300-400.........sekali sekala bolehlah tetapi jika selalu........pokai le Abg PE........ Tetapi kadang-kadang makwe saya yang telefon pulak kerana nilai matawang beliau tinggi jika dibandingkan dengan nilai RM....... Waktu tu nilai USD 1 bersamaan dengan RM 3.50.......tinggi tu perbezaannya........ Sayalah antara orang yang telah menjadikan telekom terus maju.......... Apa tidaknya kerana tiap-tiap bulan banyak bil telefon yang saya kena bayar......... Mak cik saya pun geleng kepala bila tengok bil telefon yang sampai ke rumah......... Itulah nilai pengorbanan cinta antara kami berdua....... Bagi saya duit boleh dicari tetapi cinta yang sejati amat sukar untuk ditemui..........kerana itulah cintaku hanya untukmu........
                 ..................teruskan bersama PE..........cintaku hanya untukmu 3........

Saturday 15 October 2011

CINTAKU HANYA UNTUKMU

            Sebelum makwe saya pergi ke luar negara.....saya berhasrat untuk berjumpa dengannya.......boleh le saya......ala-ala cerita Hindustan (pada masa tu saya ni peminat cerita Hindustan). Walaupun dia telah berada di Ipoh tetapi dengan penuh harapan saya meminta dia balik sekejap ke Shah Alam agar kami boleh berjumpa. Agaknya memang ada jodoh antara kami......dengan izin Allah s.w.t hasrat saya untuk berjumpa dengannya dimakbulkan olehNYA. Pada masa itu saya tak tahu tempat mana yang sesuai untuk kami berjumpa....... Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membawa makwe saya ni pergi ke tempat-tempat yang bersejarah......anda tahu ke mana kami pergi.....?.
            Jika dah ala-ala hindustan tu.......ke mana lagi kami nak pergi.......yang pasti saya telah membawa makwe saya ke Bukit Malawati di Kuala Selangor. Romantik tau jika tengah bercinta pergi duduk atas bukit tu sambil menghadap laut..... Lepas tu bolehlah saya bercerita sedikit kisah-kisah lama dan bersejarah mengenai bukit itu. Banyak sekali sejarah iaitu kisah-kisah lama yang patut kita pelajari dan ketahui apa yang ada di atas bukit tersebut. Tak rugi jika sesiapa sahaja yang tengah bercinta pergi ke sana kerana jika lapar kita boleh turun ke bawah untuk pergi makan dan jika sampai waktu solat kita boleh pergi sembahyang  kerana di situ juga ada masjid lama yang bersejarah....... Lepas tu boleh naik ke atas semula sambil menikmati keindahan di sekitar bukit tersebut. Sekurang-kurangnya apabila makwe saya telah pergi ke luar negara nanti jika rindu pada saya boleh le kenangkan kembali memori indah ketika kami duduk bersama......dekat meriam lama......sambil berpuisi......kenangan kisah lama antara kami untuk selama-lamanya........ Semoga diberkati olehNYA.
            Ucapan terakhir saya sebelum berpisah setelah mengakhiri pertemuan dengan makwe saya pada hari itu ialah saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana makwe saya sudi untuk berjumpa dengan saya sebelum beliau pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya sentiasa mendoakan semoga makwe saya selamat ketika berada di perantauan........ Semoga berjaya dalam pelajaran dan jika dah berada di sana tu janganlah lupa pada Abang PE di sini. Makwe saya pula berkata "jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana jarak dan masa akan memisahkan kita. Apa-apa pun boleh berlaku sepanjang dua tahun lebih ketiadaan saya. Mungkin saya atau awak akan berubah hati. Siapa tahu?. Kalau kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi, bila jatuh, sakitnya perit sekali. Oleh itu kita hanya perlu berdoa semoga harapan dan impian kita menjadi kenyataan'. Saya membalas dengan berkata "Insya Allah, saya akan tetap menaruh harapan kerana tanpa harapan kita tidak akan berusaha untuk menjadikan impian satu kenyataan. Saya akan tetap setia menanti kepulanganmu.......Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya cintaku hanya untukmu..........
                           .............teruskan bersama PE..........cintaku hanya untukmu 2..........

Wednesday 12 October 2011

HARI BEKERJA 6

            Semenjak ada PA saya yang baru iaitu Miss Ayu boleh dikatakan setiap pagi apabila saya sampai di pejabat di atas meja saya telah disediakan minuman untuk sarapan pagi. Miss Ayu ni jika sekali pandang rupa wajahnya seperti orang melayu tetapi jika pandang lagi sekali sahlah beliau seorang yang bukan melayu. Begitulah semenjak beliau ada, sarapan pagi saya begitu dijaga olehnya dan oleh kerana beliau seorang yang baru mula bekerja terpaksalah saya memberi tunjuk ajar bagaimana tugas-tugas yang perlu beliau lakukan untuk saya. Harapan saya agar beliau menjadi PA yang bagus untuk saya agar segala tugas dan kerja saya tidak mengalami sebarang masalah.
           Suatu hari selepas balik makan tengah hari PA saya kata tadi ada seorang perempuan telefon. Makwe saya katanya sambil tersenyum....... Memang makwe saya yang telefon kerana dengan rasminya minggu depan beliau akan berangkat ke luar negara untuk belajar. Tarikh dan masa keberangkatan telah dimaklumkan kepada saya dengan harapan waktu tu saya akan berada di lapangan terbang untuk berjumpa buat kali terakhir sebelum beliau berangkat pergi. Saya pun telah memohon cuti pada hari itu untuk memenuhi permintaan daripada makwe saya ini. Makwe saya juga telah balik ke kampungnya di Ipoh, Perak sebagai persediaan sebelum berangkat pergi dan akan mengadakan majlis doa selamat semoga beliau selamat pergi dan selamat kembali sebagai seorang yang berjaya dan cemerlang.
           Pemergian makwe saya ke luar negara di taja oleh JPA dan beliau akan menuntut di Midwestern State University, Texas, USA dalam jurusan ijazah sarjana muda kimia selama 2 tahun setengah. Selama 2 tahun setengah ini jugalah saya akan lalui tanpa orang tersayang di sisi saya. Harapan makwe saya agar hati dan perasaan saya tidak berubah sewaktu beliau tiada di sini. Berubah atau tidak tu tak beranilah saya nak jamin kerana saya ni pun bukan boleh diharapkan sangat........ Namun jauh di sudut hati dan perasaan saya sentiasa berdoa dan mengharapkan perhubungan kami akan terus terjalin sehingga hari bahagia kami bersama......... Walaupun perjalanan kami di hadapan sentiasa ada liku-liku kepayahan yang memerlukan ketabahan serta kesabaran yang tinggi untuk diharungi. Yang pasti saya sentiasa sedar mengenai keadaan diri saya......... Bagaimana pula penerimaan keluarga sebelah makwe saya setelah mereka mengetahui dan melihat keadaan diri saya. Apakah mereka merestui serta membenarkan perhubungan antara kami berdua......?. Relakah anak bongsu kesayangan mereka menjalinkan perhubungan cinta dengan saya........?...Untuk mengetahuinya...........
                         ..................teruskan bersama PE..........cintaku hanya untukmu..........

Friday 7 October 2011

HARI BEKERJA 5

            Ketika waktu bekerja banyak memberikan dorongan semangat kepada saya untuk terus mempelajari selok belok urusan perniagaan. Lantaran itu setelah menamatkan pengajian di Stamford College, PJ saya menyambung pelajaran dengan mengambil pengajian luar kampus di ITM, Jalan Othman dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Belajar di sini ditanggung sepenuhnya oleh majikan saya melalui tabung Pembangunan Sumber Manusia.
            Ramai pekerja-pekerja syarikat swasta tidak tahu bahawa mana-mana syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia boleh menghantar pekerja mereka untuk bekerja sambil belajar di mana-mana tempat yang diluluskan melalui tabung Pembangunan Sumber Manusia. Tetapi kebanyakan syarikat swasta tidak memanfaatkan kemudahan yang sedia ada ini demi memajukan lagi syarikat mereka. Kementerian Sumber Manusia ini mewajibkan setiap syarikat swasta yang mempunyai pekerja yang melebihi 50 orang hendaklah membayar levi sejumlah 1% pada setiap bulan mengikut jumlah upah gaji pekerja yang didaftarkan. Jumlah upah gaji pekerja inilah yang akan disimpan di dalam tabung Pembangunan Sumber Manusia pada setiap bulan sebelum berakhir 10 hb dan jika lewat bayar, denda akan dikenakan. Biasanya pada setiap bulan majikan saya akan membayar melebihi RM100,000 untuk gaji mengikut jumlah pekerja yang didaftarkan. Contoh jika bayar upah RM100,000 x 1% = RM1,000 yang perlu di bayar. Tetapi jika syarikat swasta yang mempunyai kurang daripada 50 orang pekerja tidak perlulah membayar levi untuk pekerja mereka tetapi borang perlu diisi dan dihantar pada setiap bulan.
            Selain daripada pekerja di setiap syarikat boleh melanjutkan pelajaran, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan kursus-kursus dan program-program demi untuk meningkatkan kemahiran serta memberi ilmu pengetahuan kepada pekerja-pekerja yang berminat. Oleh kerana di syarikat ini saya yang menguruskan bahagian tersebut, banyak kali juga saya pergi menghadiri kursus dan program yang dianjurkan oleh mereka kerana setiap program yang mereka anjurkan pihak majikan saya boleh membuat tuntutan semula melalui tabung Pembangunan Sumber Manusia. Tetapi sebelum membuat tuntutan saya perlu mengeluarkan duit poket sendiri selepas itu saya akan membuat tuntutan kepada majikan saya.
           Kadang-kadang saya ni nakal juga dengan majikan saya kerana selalunya apabila Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan kursus yang kita perlu menginap di hotel.......cepat-cepat saya akan isi borang untuk pergi menghadiri kursus tersebut. Bila dah duduk di hotel 4 hari 3 malam untuk menghadiri kursus mestilah semuanya di tanggung....... Apa lagi sambil menghadiri kursus, saya akan pergi melawat ke tempat-tempat yang menarik...... Lebih-lebih lagi jika pergi kursus di Port Dickson atau di tempat-tempat lain yang menarik.......boleh le saya mandi laut. Selalunya saya seorang aje yang pergi........buat sikit kertas kerja......bila balik bekerja......bagi kertas kerja tu pada majikan saya lepas tu tunggu.........
           Pengalaman saya selepas menghadiri kursus dan program yang ada.......hanya sekali sahaja majikan saya membuat tindakan susulan itu pun setelah pegawai dari pihak kementerian membuat pemeriksaan mengejut untuk melihat adakah majikan saya membuat tindakan susulan selepas saya pergi menghadiri kursus yang mereka anjurkan. Majikan saya didenda kerana syarikat saya tidak mempunyai carta organisasi syarikat yang perlu ditampal di pejabat dan tidak meletakkan papan tanda pada setiap tempat yang perlu ada. Saya sudah pun memberitahu majikan saya dari awal lagi tetapi mereka tak mahu buat.......... Tugas saya pergi kursus dan hantar laporan....... Saya tak boleh kata apa-apa...........
                            ...............teruskan bersama PE........hari bekerja 6..........

Wednesday 28 September 2011

HARI BEKERJA 4

            Walaupun cuti hari raya saya selama seminggu tetapi saya mengambil keputusan untuk kembali mula bekerja lebih awal kerana ada kerja yang harus saya siapkan sebelum akhir bulan ini iaitu laporan untuk Jabatan Perangkaan bagi industri pembuatan. Laporan ini mesti dihantar pada setiap akhir bulan jika tidak tindakan denda akan dikenakan mengikut berapa hari kelewatan.
            Setiap syarikat yang berdaftar dalam industri pembuatan perlu menghantar laporan bilangan pekerja lelaki dan wanita serta kos upah pekerja, kos operasi pembuatan dan laporan perolehan keuntungan bagi setiap bulan beroperasi dan sekali untuk satu tahun beroperasi. Semua laporan mesti tepat kerana ada masa tertentu pegawai dari Jabatan Perangkaan akan membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan semua laporan yang mereka terima itu benar dan betul. Jika berlaku kesilapan atau ketidak tepatan laporan sayalah yang akan dipanggil untuk memberi penjelasan mengapa laporan yang dibuat tidak benar.
            Pernah berlaku kesilapan laporan yang mereka terima apabila laporan yang dihantar pada setiap bulan selama 12 bulan tidak sama jumlah kos upah pekerja, kos operasi pembuatan dan laporan perolehan keuntungan dengan laporan yang dihantar untuk satu tahun beroperasi. Bermakna ada 2 laporan yang perlu dibuat dengan teliti iaitu laporan yang mesti dihantar pada setiap bulan dan satu lagi laporan yang mesti dihantar pada tahun ianya beroperasi. Masa itu saya terpaksa pergi ke pejabat mereka di Jalan Duta untuk memberi penjelasaan mengapa berlakunya kesilapan laporan. 2,3 kali juga saya terpaksa datang ke pejabat mereka kerana setiap jawapan yang saya berikan masih belum memuaskan hati mereka. Setelah beberapa bulan barulah kes ini selesai itupun setelah saya paksa majikan saya pergi mengadap dengan mereka. Mungkin mereka lebih suka berjumpa dengan majikan saya daripada berjumpa dengan saya yang hanya Pegawai Tadbir sahaja.
            Setelah mereka melihat majikan saya hadir bersama dengan saya barulah mereka tersenyum lebar, ternyata andaian saya tepat sekali kerana jika tidak majikan saya akan dikenakan denda yang agak banyak juga. Sebenarnya kesilapan laporan itu bukanlah teruk sangat tetapi ianya berlaku kerana jumlah RM di penyata bank yang tidak sama dengan laporan yang diberikan. Sebagai contoh selalunya pada awal bulan iaitu Januari dan pada akhir bulan iaitu Disember, kerana ada kos yang dibayar pada bulan Disember tetapi pembayaran ceknya bulan Januari tahun berikutnya baru diterima oleh pihak bank begitu juga sebaliknya. Selalunya dalam masalah seperti inilah mereka akan kenakan tindakan dan jika kita nak selesaikan kes ini dengan segera, begitulah caranya. Jika tidak kes itu akan berpanjangan dan tempoh denda akan dikira mengikut berapa lama kes itu selesai. Jika melibatkan kes yang sebegini lebih baik kita selesaikan dengan segera, jika tidak masalah bagi majikan yang mengalaminya. Jika kita beri silap lapuran, pasti akan berlaku kes seperti ini......tetapi jika kita hantar laporan lewat syarikat juga akan didenda kerana lewat menghantar laporan. Semua itu perlu kita hadapi dengan cara yang tersendiri........
             ...........teruskan bersama PE..........hari bekerja 5......

Tuesday 27 September 2011

SELAMAT HARI RAYA 3

            Setelah menyambut hari raya di rumah Opah......kami semua pergi ke rumah abah saya untuk menyambut bersama-sama dengan mereka. Di rumah abah, saya mempunyai 5 orang lagi adik beradik iaitu 1-Noriah  2- Jeffery  3- Kamaruzzaman  4- Mohd Omar dan  5- Siti Aminah (meninggal dunia). Di rumah abah ni saya tidak mempunyai kenalan langsung untuk membawa saya pergi berjalan-jalan. Waktu itu hanya adik saya iaitu Kamaruzzaman atau lebih mesra saya panggil Adik yang rajin membawa saya berjalan-jalan di sekitar kampung dan pergi ke pekan Sg. Besar dengan menaiki motor. Selalunya jika saya balik ke rumah abah, adik saya ni le yang rajin membawa saya pergi merayau-rayau atau ke mana saja saya ingin pergi. Jika adik saya tiada di rumah sewaktu saya pergi ke rumah abah alamat duduk rumah sajalah saya sepanjang hari. Waktu itu terasa boring sungguh kerana itulah jika pulang ke kampung saya akan membawa kerja-kerja di pejabat atau menyiapkan kertas kerja mengenai pelajaran atau sekurang-kurangnya saya akan menulis cerpen atau sajak. Lagipun masa itu saya sedang dilamun cinta tentulah banyak idea-idea yang datang untuk dihasilkan dalam bentuk penulisan. Mengapa pulak saya sedang dilamun cinta........?.
             Anda ingat tak kisah saya dalam tajuk "Bulan Ramadan 5"........saya pernah hantar surat kepada seorang gadis.......?. Setelah agak sekian lama, dengan tidak di sangka-sangka saya menerima sepucuk surat  balasan daripada gadis itu......... Ternyata semangat "belum cuba belum tahu" memberikan harapan bagi saya untuk mengenali seorang gadis walaupun telah saya ketahui taraf pendidikan dan keluarganya jauh lebih baik. Saya mengetahui latarbelakang gadis itu melalui seorang teman saya yang mengenalinya. Bermula daripada surat itulah wujudnya cinta pertama dalam hidup saya. Selepas itu kami mengadakan pertemuan pertama.......... Waktu itu Central Market adalah tempat yang saya fikir paling sesuai untuk bertemu dan pertemuan pertama saya dengan gadis itu diadakan di KFC, Central Market. Di situlah wujudnya ikatan kemesraan antara kami........walaupun waktu itu saya tahu bahawa kami akan berpisah untuk sementara waktu kerana gadis tersebut akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi kerana keyakinan wujudnya perasaan cinta antara kami.......semua itu kami lupakan kerana "jika takut dilanda ombak jangan berumah di tepian pantai......"......falsafah........falsafah........falsafah......insan seni le katakan........
             Itulah antara kata-kata semangat yang mendorong saya untuk terus menyayangi gadis tersebut. Tetapi masa tu hanya surat saja yang menjadi perhubungan antara kami....... Jika nak telefon pun susah juga kerana jika saya telefon ke rumah dia bukan dia yang jawab......terpaksa pula nak jawab soalan pertanyaan...."siapa yang bercakap ni.....?" "Ada apa hal nak cakap dengan dia..?".... Lepas tu jika dapat bercakap pun tak boleh lama-lama......nanti maknya marah. Maklumlah anak bongsu tentulah dikawal rapi oleh ahli keluarga mereka. Saya pun anak bongsu juga tetapi yang paling nakal le.........
            Hari raya kali ini abah membawa Opah dan saya pergi ke rumah ahli-ahli keluarga yang jauh seperti di Perak, Pahang kerana sebelum ini kami semua jarang sekali berjumpa. Tak sangka ramai juga ahli keluarga Atuk dan Opah yang masih ada yang belum pernah saya kenal selama ini. Sekurang-kurangnya saya dapat mengenali mereka semua dan mengenali anak-anak mereka yang berada di perantauan. Boleh le menjemput mereka semua di majlis walimatulurus saya nanti........bisik saya pada Opah semasa dalam perjalanan pulang. Opah hanya tersenyum dan berkata....... "Semoga Opah sempat menimang anak-anak kamu jadi le.........?" ......"InsyaAllah....."......kata saya pada Opah.
                 ..............teruskan bersama PE..........hari bekerja 4...........

Friday 23 September 2011

SELAMAT HARI RAYA 2

            Berhari raya di kampung memang menyeronokkan kerana waktu itu semua ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran tetangga boleh kita jumpa. Semuanya akan pulang ke kampung walau di mana jua mereka berada kecuali kepada mereka yang tidak dapat pulang kerana tugas atau mereka berhari raya di tempat lain. Sehari sebelum hari raya saya sempat berbuka puasa bersama-sama dengan ahli keluarga di kampung walaupun pada kali ini kami semua amat terasa ketiadaan Atuk yang telah pergi meninggalkan kami.
            Masih saya ingat sedang saya sibuk bekerja di pejabat, saya menerima panggilan telefon yang menyatakan Atuk telah pergi untuk selama-lamanya...... Waktu itu saya berasa amat sedih sekali kerana saya tidak sempat mengadap Atuk ketika dia pergi. Sebelum itu Opah telah memberitahu saya bahawa sejak akhir-akhir ini Atuk tak sihat.....kesihatan Atuk tidak menentu......tetapi Atuk bukanlah seorang yang suka pergi ke klinik atau hospital untuk menerima rawatan. Beliau lebih suka berada di rumah walaupun sakit yang beliau hadapi seperti batuk atau lelah semakin teruk. Walaupun Opah telah memberitahu bahawa Atuk sering sakit-sakit.......tetapi kerana kesibukan tugas dan pelajaran saya melengah-lengahkan untuk pulang ke kampung sehinggalah akhirnya saya tidak berkesempatan menemui Atuk sebelum beliau meninggal dunia akibat penyakit lelah........kerana itulah saya amat terasa sekali kehilangan Atuk yang sangat-sangat saya sayangi.......... AL-FATIHAH untuk Atuk........
             Walaupun hari raya kali ini ketiadaan Atuk tetapi saya tetap juga merasa gembira kerana sekurang-kurangnya saya masih ada Opah dan ahli keluarga saya yang lain. Berhari raya di kampung ini yang seronoknya semasa menziarahi jiran-jiran atau "baraan" dan bermain meriam buluh. Boleh dikatakan setiap rumah ada meriam buluh atau salur paip yang boleh dijadikan meriam....... Biasanya kami akan berlawan bunyi siapa yang paling kuat sekali sehinggalah masing-masing kepenatan atau ada waktunya mereka berlawan bunyi hingga ke pagi. Memasang pelita di sekeliling rumah juga merupakan satu keseronokan yang tidak dapat kami lupakan........ Apabila semua pelita telah dipasang seluruh rumah akan menjadi terang dan seluruh kawasan kampung akan menjadi terang-benderang. Waktu itu kami semua akan menaiki motor mengelilingi kawasan kampung sambil melihat keindahan cahaya pelita di setiap rumah yang ada.......dan di malam itu juga kami akan bertukar-tukar juadah agar dapat kami merasa masakan dan makanan yang berbeza-beza. Di rumah Opah akan membuat kuih kegemarannya iaitu kuih bahulu dan menganyam daun ketupat......dan masak rendang kegemaran saya iaitu rendang ayam kampung. Ruih rendah satu kampung di setiap sambutan hari raya........
                 teruskan bersama PE..........selamat hari raya 3........

Monday 19 September 2011

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA



UCAPAN SELAMAT HARI RAYA


      
Dengan rasa rendah hati di sini ingin saya mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN
kepada anda semua yang mengenali diri saya.........untuk ahli-ahli keluarga yang tersayang..........
serta salam ingatan untuk insan yang jauh tetapi dekat di hatiku......... Salam sayang dan rindu selalu.... 
Ucapan ini saya tujukan khas buat insan yang begitu mengambil berat terhadap diri saya dan yang sering memberikan saya semangat untuk terus memperjuangkan erti kehidupan ini yang penuh dengan dugaan dan cabarannya...... Semoga Allah s.w.t sentiasa memberikan kami kekuatan diri dan kekuatan iman dalam melalui liku-liku kehidupan di bumi NYA ini......... Amin                      

Tuesday 13 September 2011

BULAN RAMADAN 5

            Setelah melalui Ramadan kini tibalah di penghujung Ramadan....... Saya awal-awal lagi dah memohon cuti seminggu untuk pulang ke kampung. Semua kerja telah saya lakukan sebelum bercuti panjang...... Bagi saya persediaan sambutan sempena hari raya agak sederhana saja kerana orang bujang tak banyak yang perlu difikirkan.  Kad raya pun tak banyak saya terima kerana waktu tu saya tak ramai kenalan......cuma mak we saja yang ramai......itu pun mak we tempat saya belajar dan di tempat kerja saya........ Waktu itu dalam tahun 80 an jika ada jawatan di kilang pun ramai mak we yang berminat.......
            Cerita pasal mak we ni terus terang saya katakan saya suka pada seorang perempuan ni........ Waktu tu saya suka pergi ke Shah Alam ikut kawan-kawan saya pergi sana untuk berjumpa dengan kawan dia...... Bila dia jumpa dan bersembang dengan kawan dia......saya dapat rasakan ada sepasang mata yang cantik sering curi-curi pandang pada saya. Tetapi waktu tu saya tak berani kata apa-apa apabila mengenangkan keadaan diri saya....... Saya tak berani untuk bertanya kerana mereka adalah pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus intensif Bahasa Inggeris untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka adalah pelajar-pelajar yang pandai dan ditaja oleh JPA. Bagaimanapun saya beranikan diri saya untuk menulis sepucuk surat kepada gadis berkenaan kerana ada pepatah mengatakan....."belum cuba belum tahu......." ......Bagaimanapun surat yang saya hantar itu tiada balasan sehinggalah saya sendiri pun telah melupakannya..... Mungkin gadis tu tak berminat untuk berkenalan dengan saya.......tangkap cintan le pulak saya ni.......
             Selalunya sebelum raya saya akan menerima gaji, duit raya dan pinjaman duit raya kerana syarikat saya menyediakan pinjaman kepada semua pekerja untuk menyambut hari raya. Selepas tu pada setiap bulan duit pinjaman itu akan dipotong secara ansuran. Jika pinjam RM1,000 bayar semula RM200 x 5 bulan. Waktu tu semua pekerja akan buat pinjaman seberapa banyak yang boleh tetapi pinjaman setakat RM5,000 aje....... Waktu itu jika setakat nak bertunang selepas raya, duit tak menjadi masalah. Tetapi ada juga pekerja yang tidak jujur......bila dapat duit pinjaman mereka terus berhenti kerja...... Selepas raya terus tak datang bekerja.
            Selepas peristiwa itu syarat pinjaman untuk hari raya begitu ketat sekali...... Pinjaman hanya diberikan kepada pekerja-pekerja yang benar-benar layak sahaja. Jika ada bekas pekerja syarikat Percetakan Solai Sdn Bhd (syarikat tempat saya bekerja) yang pernah berhutang dulu tu, harap dapat le bayar balik duit tu kerana hidup kita tidak akan berkat jika berhutang dengan orang dan kita tidak membayar balik. Ada juga yang sanggup menipu syarikat dan saya untuk meminjam duit........ Kepada yang meminjam duit saya tu saya halalkan dunia dan akhirat tetapi dengan duit syarikat itu terpulang kepada anda........ Syarikat ini ada lagi sehingga kini, pergi le jumpa sendiri dan selesaikan hutang masing-masing......... Kami tak pernah laporkan pada polis walaupun kami mempunyai bukti yang cukup. Itu antara anda dengan yang Maha Esa........ Semoga amal ibadat yang anda lakukan tidak tergantung kerana "hutang" anda ini.......
               ....................teruskan bersama PE........ucapan selamat hari raya.......

Thursday 8 September 2011

BULAN RAMADAN 4

            Anda pernah berbuka puasa di hotel.....?.. Ada yang pernah pergi dan ada juga yang belum pernah pergi....... Kepada yang pernah pergi berbuka puasa di hotel.....adakah anda membazir ketika makan.....?... Jika anda tidak membazir ketika makan saya ucapkan....syabas kepada anda.....!!.. kerana anda benar-benar menghargai nikmat yang diberikan olehNYA..... Tetapi kepada yang suka membazir saya harap anda dapat hentikan tabiat tersebut.
           Melalui pengalaman saya yang pertama kali berbuka puasa di hotel, bukan semuanya suka membazir, ia bergantung kepada sikap dan cara pemakanan masing-masing. Bagi saya dan kawan-kawan yang pertama kali makan di hotel ni agak gelojoh juga apabila melihat bermacam-macam jenis makanan yang ada..... Waktu itu semua yang ada hendak di makan dan di minum...... Majikan saya kata makan sikit-sikit lepas tu rehat sekejap......lepas tu boleh sambung makan lagi kerana waktu makan yang diberikan sehingga jam 10 malam. Boleh pergi solat dulu lepas itu boleh datang lagi sambung makan. Kami semua baru faham mengenai peraturan berbuka puasa di sini....... "Kenapa bos tak beritahu awal-awal pada kami......."....kata saya setelah mendengar penjelasan. Ini pertama kali kami berbuka puasa di hotel....... Kami ketawa beramai-ramai......
           Kebiasaannya setelah kekenyangan solat akan dilupakan.... Apatah lagi jika disediakan persembahan nyanyian.......... Ada yang akan terus bersembang sehinggalah di akhir waktu makan dibenarkan. Ada beberapa orang saja yang benar-benar melakukan solat...... Itupun bergantung kepada tempat kita berbuka puasa itu adakah menyediakan tempat solat yang selesa atau tidak....... Semuanya akan melalaikan kita....... Beruntunglah kepada mereka yang makan.......solat.......makan, makan, makan lagi sehingga kenyang.......
            Keesokan harinya semuanya bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat kami lupakan bila pertama kali kami seramai 15 orang berbuka puasa di PJ Hilton kerana waktu itu kami semua tak biasa makan banyak..... Ada yang termuntah-muntah apabila semuanya hendak dimakan dengan lahapnya...... Maklumlah tak pernah jumpa makanan yang bermacam-macam dan sedap-sedap belaka..... Apatah lagi dengan semua jenis air yang ada....... Bila dah semuanya masuk dalam perut......apa lagi.......pergi bilik air le........tetapi bila dah pergi bilik air.......kita boleh sambung makan lagi...... Begitulah seterusnya selagi belum waktu makan berakhir......... Selagi boleh makan......makan aje......nak makan banyak ni ada caranya...... jika makan jangan minum air yang banyak.......tetapi sayang kerana pesanan itu kami terima keesokan harinya.......itupun melalui PA saya. "Awak tak nak belanja saya berbuka puasa ke.....?".....kata PA saya. ...."Awak kena puasa dulu......baru boleh saya belanja........ "....Tetapi semasa makan tu saya tengok yang bukan beragama islam pun ramai juga yang datang makan bersama-sama meraikan mereka yang berpuasa. Sewaktu kami berbuka puasa pun seramai 6 orang majikan saya ada ketika makan.......mereka makan lagi banyak daripada kami kerana menu-menu yang ada memang menjadi kegemaran mereka......
                     teruskan bersama PE.........bulan ramadan 5......

Wednesday 7 September 2011

BULAN RAMADAN 3

            Sedang leka saya buat kerja di pejabat.....tiba-tiba PA saya telefon memberitahu Pengurus Besar (Nat Sum) nak jumpa di pejabat dia. Saya pun pergi ke pejabat beliau di tingkat 3 bangunan sebelah..... Bangunan ini hanya menempatkan pekerja-pekerja seperti wartawan, ketua pengarang dan mereka yang terlibat dalam penerbitan buku-buku, majalah-majalah atau apa saja yang diterbitkan oleh syarikat kami. Waktu itu yang popular ialah buku-buku komik seperti Dragon Ball, Shin Chan, Naruto, Mutiara Naga dan lain-lain lagi yang syarikat kami akan terjemahkan terlebih dahulu dari bahasa Jepun ke bahasa Cina dan dari bahasa Cina ke bahasa Melayu.......
           Setelah semua siap dialih bahasakan barulah ianya dicetak oleh syarikat kami...... Nak buat ini pun memerlukan kelulusan daripada KDN dan Syarikat daripada Jepun yang terbabit...... Majalah-majalah yang syarikat kami terbitkan sendiri seperti Funi, Bintang TV, Headlines dan ada juga majalah-majalah daripada syarikat luar yang dicetak di sini dalam bahasa Inggeris seperti Galaxie, Computer dan lain-lain. Terdapat juga dalam bahasa Tamil seperti Nayanam, Mayil serta dari keluaran syarikat penerbitan Jaya Bakti........ Boleh dikatakan dari dulu lagi syarikat kami dah amalkan slogan 1 Malaysia ni.........
            Bos nak jumpa saya untuk memberitahu beberapa perkara yang saya rasa penting kerana selalunya jika tak penting beliau tidak akan panggil saya ke pejabat...... "Sila catat apa yang saya nak kata ni ...... " 1-...."dalam bonet kereta mercedes saya ada beberapa barang-barang seperti baju kot, baju, seluar, tali leher dan kasut.....yang saya rasa awak boleh pakai...... Nanti awak pergi ambil......."....kata bos saya.... Bos saya ni memang selalu bagi barang-barang seperti itu untuk saya pakai kerana badan saya dengan beliau lebih kurang sama.......... 2-...."Tak lama lagi isteri saya akan bekerja di sini.....beliau akan jadi akauntan di sini dan saya mau awak jadi pembantu isteri saya......".... 3-...."Awak tulis nama pekerja lelaki saja yang nak pergi berbuka puasa di PJ Hilton...... Beritahu berapa orang untuk saya buat tempahan..." ... 4-...."Selepas ini saya mau awak uruskan masalah dan kebajikan pekerja-pekerja yang ada...... Jika ada masalah beritahu saya dan jika perlu terus telefon saya jika saya tiada di pejabat...... " ......Perkara-perkara yang bos saya sebutkan tadi memang telah saya jangkakan kerana beliau sentiasa mengambil berat terhadap pekerja-pekerja yang ada. Setelah mendengar penerangan daripada bos saya tadi......saya mengucapkan ribuan terima kasih........
            Setelah bertanya siapa yang nak pergi berbuka puasa......ada 15 orang yang nak pergi. Nampaknya mereka seronok bila dapat peluang untuk berbuka di hotel...... Saya sendiri pun tak pernah pergi berbuka puasa di hotel...... Sebelum ini hanya dengar cerita daripada orang lain saja..... Mereka kata berbuka di hotel ni membazir......betul ke....?. Macam mana rasanya jika berbuka puasa di hotel...... Tak sabar rasanya untuk pergi..... Saya dah pesan kepada mereka....malam lusa jam 7 petang, tunggu di lobby PJ Hilton......jumpa di sana.....dengan berpakaian yang kemas........
                       ............teruskan bersama PE........bulan ramadan 4.......

Sunday 4 September 2011

BULAN RAMADAN 2

            Bagi saya dalam bulan Ramadan kali ini begitu mencabar sekali keimanan saya kerana di tempat kerja boleh dikatakan saya dikelilingi oleh mereka yang tak puasa, maklum le ramai yang bukan beragama islam. Lagi satu masalah besar yang kami hadapi apabila majikan saya tidak menyediakan tempat yang sesuai untuk solat kerana sebelum ini sesiapa yang ingin mengerjakan solat, ianya dilakukan di mana-mana saja yang difikirkan sesuai.  Akhirnya saya menemui tempat yang sesuai untuk solat iaitu di dalam bilik yang bersebelahan dengan kotak elektrik...... Saya dan kawan-kawan mengumpul duit sebagai modal untuk mencantikkan bilik itu dengan mengecat, beli tikar getah, kipas, sejadah dan barang-barang keperluan lain untuk menghiasi bilik solat kami. Selepas itu kami bahagikan kepada 2 ruang untuk lelaki dan wanita...... Pekerja melayu lelaki dan wanita ada ramai juga di tempat kerja saya ini.
            Tetapi bilik solat itu tak lama dapat kami gunakan apabila kemudahan tempat solat itu disalah gunakan oleh mereka yang tidak menghormati hukum dan peraturan hidup dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka yang sentiasa melanggar perintah Allah s.w.t.....menjadikan tempat solat tempat makan serta tidak menjaga kebersihannya. Tempat solat juga dijadikan tempat tidur waktu bekerja dan yang paling tidak sopan apabila tempat solat mereka jadikan tempat membuat perkara-perkara yang tidak sopan pada waktu-waktu yang mereka rasakan sesuai...... Majikan menyuruh saya selesaikan semua masalah ini kerana saya yang memulakan idea untuk menggunakan bilik tersebut...... Saya membuat kunci bilik tersebut dan pada sesiapa yang ingin menggunakan bilik tersebut untuk solat boleh le ambil kuncinya di pejabat saya......tetapi idea itu pun tak lama juga kerana rupa-rupanya mereka membuat kunci pendua dan masing-masing ada kunci jika mereka ingin menggunakan bilik tersebut tanpa pengetahuan saya.
            Tempat kerja saya ni waktu kerjanya bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang tetapi jika ada kerja lebih masa (overtime) mereka akan bekerja hingga jam 10.00 malam dan ada masanya mereka juga akan bekerja hingga 1 pagi jika ada kerja yang banyak untuk disiapkan dengan cepat...... Mereka suka jika ada "overtime" boleh le kumpul duit gaji  sebanyak mungkin...... Saya pun ada waktunya buat kerja lebih masa juga untuk memantau dan memerhatikan bagaimana mereka bekerja...... Saya pun dah perasan yang majikan saya seolah-olah ingin saya melakukan kerja sebegitu kerana jika saya boleh melakukannya boleh le beliau pulang awal ke rumah dan selepas itu majikan akan telefon saya bertanya......"Ada masalah ke di kilang....?. "...Jika saya jawab..."tiada"....majikan saya akan berkata..."Awak jaga mereka dan jika ada apa-apa masalah telefon saya kat rumah....." ....Kadang-kadang bila dah lewat malam atas urusan kerja atau pergi belajar saya akan tidur di pejabat kerana nak balik pun tiada bas lagi yang pergi ke Kg. Melayu Subang......
              Pejabat saya ni besar dan ada sofa khas jika saya nak tidur di situ..... Tempat simpan pakaian saya pun ada..... Saya bebas 24 jam jika ingin menggunakan pejabat saya ini kerana ada pintu khas untuk memudahkan saya keluar masuk pada bila-bila masa sahaja. Itulah kemudahan istimewa yang majikan berikan kepada saya......... Majikan akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk saya asalkan semua kehendak majikan saya patuhi dan melaksanakan mengikut apa yang dikehendaki........... Jika saya bekerja lewat malam saya akan pesan kepada kawan saya untuk membeli makanan agar boleh saya makan ketika waktu bersahur nanti...... Selalunya saya akan mengajak kawan-kawan berbuka puasa atau bersahur di dalam bilik saya...... Itu adalah saat-saat yang paling seronok kami lalui di bulan yang mulia ini.........
            .................teruskan bersama PE.........bulan ramadan 3.....


Tuesday 23 August 2011

BULAN RAMADAN MENJELANG TIBA

            Bulan Ramadan menjelang tiba lagi dan pada kali ini saya akan menyambutnya di tempat tinggal yang baru kerana mak cik saya telah membeli sebuah rumah 2 tingkat yang baru di Taman Subang Baru, Kpg. Melayu Subang..... Sejak itu saya terpaksa keluar pergi kerja awal iaitu selepas subuh kerana perjalanannya agak jauh dengan tempat kerja saya. Jika bas lewat atau dalam perjalanan mengalami kesesakan kadang-kadang jam 8.30 pagi baru saya sampai ke tempat kerja....... Ada waktunya jam 9 pagi baru sampai...... Selalunya saya akan turun bas di depan kilang Lam Soon atau hadapan PJ Hilton dan kemudian saya akan berjalan kaki ke tempat kerja.....
           Jika saya malas atau nak cepat sampai saya akan telefon pembantu saya di pejabat agar datang menjemput saya di perhentian bas...... Waktu itu majikan telah memberi saya sebuah telefon bimbit untuk kegunaan saya atas urusan kerja..... Waktu itu bukan semua orang mampu mempunyai telefon bimbit kerana harganya sangat mahal......dan masih saya ingat nombor telefon bimbit saya yang pertama ialah 010-2171170. Selain telefon bimbit majikan juga memberi saya sebuah komputer untuk kegunaan saya di pejabat...... Komputer jenama Vector ini, masa itu harganya saja RM 25,000..... Majikan saya nampaknya benar-benar ingin menjadikan saya seorang pekerja harapan syarikat...... Yang pasti majikan telah banyak melabur untuk saya dan sebagai balasan tenaga saya akan dikerah untuk meningkatkan prestasi syarikat.......
           Perkara ini memang selalu saya bincangkan dengan PA saya bila bertemu...... Bagaimanapun PA saya tak lama lagi akan berhenti kerja kerana beliau akan mendirikan rumahtangga.......tetapi dia selalu usik saya..... "Tak lama lagi jika sudah dapat PA baru jangan lupa sama saya tau...."......Saya kata...."Sorry le Jenny.....saya tak janji apa-apa tetapi kita masih kawan......saya takut nanti suami awak marah saya......".....
Saya banyak terhutang budi dengan PA saya ni kerana dia banyak mengajar saya selok-belok atau putar-belit cara urusan perniagaan bangsa Cina yang banyak ketidak jujurannya ketika berurusan. Saya akan cuba luahkan dalam blog saya ini berdasarkan pengalaman dan kisah benar yang saya alami atau yang saya lakukan sendiri ketika berurusan...... Kadang-kadang ketidak jujuran ini terpaksa saya lakukan demi untuk melindungi syarikat tempat saya bekerja...... Mereka hanya memikirkan keuntungan syarikat sahaja tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain serta alam sekitar....... PA saya berulang kali berpesan kepada saya agar berhati-hati dalam setiap urusan pekerjaan yang ingin saya lakukan........ Nampaknya PA saya ni benar-benar menghormati saya......... Nasib baik saya berpuasa.....tak boleh le nak ajak PA saya pergi makan ke gerai mamak yang kat seberang jalan tempat kerja saya ni....... Harap-harap nanti saya akan mendapat seorang pengganti yang baik juga seperti PA saya ini yang begitu mengambil berat dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya........tetapi PA saya dah pun maklumkan kepada saya siapa pengganti dia.......iaitu Miss Ayu...... Cukup bulan ni dia akan jadi PA saya yang baru.........
            Bulan puasa ni saya akan balik awal jika tiada pergi kelas kerana bimbang tak sempat sampai ke rumah sebelum waktu berbuka....... Laluan perjalanan bas ke rumah mak cik saya sangat lambat dan di tambah lagi dengan kesesakan perjalanan........ Kesesakan sering berlaku kerana waktu itu lapangan terbang terletak di laluan perjalanan bas ke Kpg. Melayu Subang........... Pernah suatu hari saya sekadar meneguk air liur saya sendiri untuk berbuka puasa akibat masalah ini......... Hari tu saya tak sangka akan sampai lewat ke rumah........ Sampai di rumah mak cik, saya cepat-cepat makan kerana dah lapar sangat........ Selepas peristiwa itu saya akan pastikan dalam beg bimbit saya ada buah kurma dan sebotol air mineral......
                       teruskan bersama PE..........bulan ramadan 2.......

Sunday 21 August 2011

HARI BEKERJA 3

            Masa berlalu tanpa saya sedari, hari berganti minggu....minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun..... Perjalanan kehidupan banyak saya lakukan dengan mempelajari dalam bidang pekerjaan........ Saya bukanlah seorang yang mempunyai tahap kelulusan yang sesuai dengan jawatan yang saya pegang pada masa itu...... Untuk itu majikan memberi saya peluang untuk bekerja sambil belajar dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh majikan saya. Saya pun diterima belajar di Stamford College, PJ dalam bidang perakaunan....... Saya memilih untuk belajar di Stamford College kerana tak jauh dari tempat kerja saya......
            Sebelah petang selepas kerja saya akan keluar awal untuk pergi belajar...... Tempatnya pun amat strategik kerana dengan berjalan kaki saja saya boleh singgah ke KFC, restoran, medan selera atau jika ingin selesa lagi saya akan singgah di PJ Hilton untuk minum petang kerana ianya bersebelahan dengan tempat saya belajar. Masa tu kewangan tiada masalah bagi saya kerana semua perbelanjaan saya ditanggung oleh majikan saya...... Cuma saya perlu bayar dahulu selepas itu buat tuntutan balik di tempat kerja. Begitulah rutin kehidupan saya setelah belajar..........
            Belajar di Stamford College ni susah nak tengok muka orang Melayu..... kebanyakannya Cina, India dan beberapa pelajar luar negara yang menuntut di sini...... Bagaimanapun mereka sangat mengambil berat terhadap diri saya....... Mereka sering bertanya jika saya inginkan bantuan......tetapi saya terpaksa mengurangkan pergaulan dengan mereka kerana saya dapati cara hidup mereka amat tidak bersesuaian dengan cara hidup saya....... Tidak salah saya katakan cara kebebasan pergaulan antara mereka........sering menyebabkan saya mengucap panjang. Bagaimana pun saya seronok belajar di situ...... Lagipun matlamat saya adalah bekerja sambil belajar........ Selalunya selepas belajar saya akan telefon PA saya untuk berjumpa di KFC kerana rumah beliau tidak jauh dari situ........ Kami akan berbincang mengenai urusan kerja dan apa yang saya telah belajar sehinggalah lewat tengah malam....... Biasanya saya akan menaiki bas mini terakhir sebelum pulang ke rumah.......
             Waktu itu saya rasa amat beruntung sekali kerana apa yang saya belajar akan saya praktikkan semula di tempat kerja........ Segala kemudahan dan kewangan telah disediakan oleh majikan saya...... Saya hanya perlu belajar dan berusaha keras untuk menjadi seorang pekerja yang cemerlang........ Usaha saya tidak sia-sia kerana tak lama selepas itu saya menerima surat kenaikan gaji serta pujian khidmat kerja cemerlang yang saya lakukan selama ini....... Bersyukur kepadaNYA dan menjadikan saya semakin yakin serta bersemangat untuk terus bekerja.........dan saya pun semakin bersemangat untuk bekerja sambil belajar..........
                              ............teruskan bersama PE..........bulan ramadan menjelang tiba.........
            

Thursday 18 August 2011

HARI BEKERJA 2

          Setelah beberapa hari bekerja, saya telah menerima banyak ucapan tahniah daripada individu-individu atau syarikat-syarikat yang mempunyai urusan perniagaan dengan tempat saya bekerja. Masing-masing ingin mengenali saya kerana selepas ini semua urusan yang berkaitan dengan syarikat akan melalui saya...... Saya tidak merasa kekok dengan keadaan ini kerana sebelum ini PA saya telah menjelaskan kepada saya perkara-perkara yang akan berlaku dan yang akan saya hadapi selepas ini. Mereka semua akan berbuat baik terhadap saya untuk memudahkan semua urusan pembelian barang-barang dalam industri percetakan..... tetapi saya tak perlu risau kerana majikan saya akan sentiasa memantau dengan memberi tunjuk ajar kepada saya.......
          Syarikat percetakan tempat saya bekerja ini ditubuhkan pada tahun 1957.......sama dengan hari kemerdekaan ianya beroperasi dan 100% dimiliki oleh bangsa cina yang telah diuruskan secara turun temurun....... Selain daripada itu ahli keluarga majikan saya yang lain juga mempunyai syarikat percetakan mereka sendiri dan semua urusan yang melibatkan industri percetakan diuruskan oleh ahli-ahli keluarga mereka sendiri. Syarikat tempat saya bekerja sekarang diuruskan oleh 2 orang adik-beradik dan masing-masing mempunyai 2 orang anak lelaki yang menguruskan syarikat percetakan ini........ Abangnya mempunyai 2 orang anak lelaki iaitu Sum Chin Lam dan Sum Chin Seng..... Mereka berdua inilah yang datang malam-malam membawa makanan semasa saya masuk wad dulu..... Dan adiknya juga mempunyai 2 orang anak lelaki iaitu Sum Chin Hong (Nat Sum) dan Sum Chin Yong (Wilfred Sum)..... Mereka inilah yang menguruskan syarikat percetakan tempat saya bekerja serta dibantu oleh sepasang suami isteri yang merupakan ahli keluarga mereka juga iaitu Mr. Ma Min dan Mrs. Ah Keow yang menjadi supervisor di sini. Ada juga ahli keluarga mereka yang lain bekerja di sini kerana syarikat saya mempunyai 8 anak syarikat di bawah satu pengurusan dan pentadbiran.
          Syarikat saya mempunyai 3 blok bangunan yang luas dan semua urusan penerbitan, percetakan dan pengedaran diuruskan di bawah satu pengurusan dan di tempat yang sama. Selain itu ada 2 syarikat lain yang menyewa di situ iaitu Avery (M) Sdn.Bhd. dan Keen Component Sdn.Bhd..... Memang seronok saya melihat mereka bekerja dengan ikatan kekeluargaan serta semangat tinggi yang mereka tunjukkan....... Saya pun tak sangka mereka masih ada seorang nenek yang sentiasa ada di situ dan memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada ahli keluarga beliau dan pekerja-pekerja seramai 200 orang. Saya belum berkesempatan untuk melawat ke semua bahagian yang ada iaitu bahagian wartawan, studio, bilik komputer, store, penerbitan, percetakan, binding, pengedaran, pembungkusan dan penghantaran...... Secara jujur saya katakan dari A sampai Z semua urusan penerbitan ada di sini........
          Sedang saya leka bekerja "intercom" di bilik saya berbunyi....... "Kawan mari datang ke kantin ada orang mau belanja awak makan...."..... "siapa?...." tanya saya....... "Awak mari sajalah ada orang mau belanja ni...."......"ok juga........saya pun lapar ni....awak buat mee kari untuk saya.....sekejap lagi saya sampai....." ...beritau saya pada pekerja kantin tersebut. Apabila saya sampai ke kantin......rupa-rupanya Mr.Wong yang tunggu untuk belanja saya makan...... Saya kata pada Mr.Wong tak dapat lagi le saya nak ikut dia pergi hantar barang-barang kerana saya dah tak boleh angkat barang-barang yang berat. Sambil makan kami bercerita mengenai kemalangan yang saya lalui dulu tu......... Mr.Wong kata beberapa malam dia tak dapat tidur bila kenangkan pengalaman beliau melihat dan menghantar saya ke hospital........"terima kasihlah itu hari awak hantar saya ke hospital......"..ucap saya kepada Mr. Wong. Mr.Wong dan isterinya juga telah lama bekerja di sini...... Beliau bekerja sebagai pemandu van syarikat dan menjaga gudang simpanan kertas cetak dan isterinya di bahagian "binding". Saya juga meminta kepada Mr.Wong bila dia ada kelapangan masa untuk memberi tunjuk ajar bahagian susunan kertas roll atau ream.......agar memudahkan saya mengenali jenis-jenis kertas yang digunakan semasa mencetak buku-buku, majalah, 'leaflet' dan komik atau apa saja keluaran syarikat ini. Saya kena belajar kepada semua yang ada agar memudahkan kerja yang akan saya lakukan di masa yang akan datang.........
                      .............teruskan bersama PE..........hari bekerja 3.......

Sunday 14 August 2011

HARI PERTAMA BEKERJA

            Hari pertama bekerja selepas menjadi OKU akan saya lalui bermula pada hari ini setelah sekian lama saya bercuti....... Bermula hari ini saya akan belajar semua selok belok pengurusan dan pentadbiran di pejabat. Saya pergi kerja naik bas mini kerana jarak tempat tinggal dengan tempat kerja saya tidak jauh........kira-kira 20 minit perjalanan sahaja. Pada masa itu bas mini adalah pengangutan awam yang paling popular sekali....... Naik bas mini ini untungnya jika kita pergi ke destinasi yang jauh seperti pergi ke KL.......tetapi rugi jika kita pergi ke destinasi yang dekat seperti saya kerana tambangnya tetap sama....... Dengan hanya membayar tambang sebanyak 60 sen kita boleh pergi ke mana sahaja samada jauh atau dekat......... Ke mana saja saya pergi bas mini adalah pilihan utama saya........jimat tau......
            Kepada yang pernah merasa menaiki bas mini ini tentunya banyak cerita geram, lucu serta bermacam-macam lagi kerenah manusia yang boleh kita lihat...... Yang geramnya apabila bas mini tu dah penuh tetapi dipaksa juga kita masuk......masuk......masuk ke dalam lagi...... Dah macam tin ikan sardin rasanya.... Dan yang lucunya bila dah penuh macam ikan sardin......macam-macam bau yang ada......lebih-lebih lagi jika naik bas mini waktu balik kerja.......... Waktu tu jika pakai rezona pun dah tak ada lagi wanginya....... Kadang-kadang ada juga seronoknya apabila ada ramai mak we yang naik bas tu...... Masa tu yang ramai, mak we yang kerja kilang le.......tetapi saya suka naik bas mini yang pergi ke Shah Alam.........kenapa suka pergi Shah Alam.........? tanya kawan saya..........."saja jalan-jalan.......cari mak we......?.....jawab saya ringkas.
            Hari pertama bekerja saya hanya diberi taklimat saja.......dan seorang "Personal Assistant (PA)" Miss Jenny yang sedia membantu jika saya perlukan bantuan....... Miss Jenny akan membantu saya dalam urusan pentadbiran kerana beliau telah lama bekerja di situ....... Selain daripada urusan pengurusan dan pentadbiran, saya juga akan menjadi "store keeper" yang akan menguruskan urusan pembelian bahan-bahan keperluan percetakan dan urusan keluar masuk "stock" seperti kertas roll dan rim, dakwat, plate, bahan kimia dan semua yang ada berkaitan dengan urusan cetak mencetak...... Selain daripada itu saya juga akan menguruskan semua urusan majikan yang ada kaitan dengan urusan di setiap jabatan kerajaan seperti menyediakan laporan tahunan dan bulanan setiap kementerian yang ada mengikut fail yang telah disediakan......... PA saya kata dia akan membantu saya dan akan datang saya akan diberi seorang pembantu lelaki untuk membantu saya melakukan kerja di bahagian store....... Saya hanya uruskan bahagian pengurusan dan pentadbiran sahaja..........peeerrrhhhh...... banyaknya tugas.............di akhir taklimat PA saya kata........"awak adalah orang melayu yang pertama bekerja di bahagian pentadbiran.......sebelum ini hanya bangsa cina yang buat semua ini........"...."oleh itu saya mahu awak bekerja dengan tekun serta rajin......."...........di dalam hati saya mengucapkan rasa syukur.........
                        .................teruskan bersama PE............hari bekerja 2

Monday 8 August 2011

LAPORAN POLIS

                               
                                  INILAH LAPORAN POLIS YANG SAYA BUAT DAN 
                             ANDA BOLEH LIHAT TERDAPAT BANYAK KESILAPAN 
                                 SEWAKTU LAPORAN ITU DI TAIP SEMULA OLEH 
                                   PIHAK POLIS KERANA SIMPATI NYA MEREKA
                                          TERHADAP DIRI SAYA................ 

                          
Klik laporan polis ini jika anda ingin melihat dengan jelas.........terima kasih

Saturday 6 August 2011

BALIK KAMPUNG 9

            Terasa sedih dan pilu apabila mengenangkan tempoh percutian saya di kampung akan berakhir pada hari ini...... Pagi ini saya akan berangkat pulang ke rumah mak cik di PJ....... Entah bila lagi saya akan merasai percutian yang panjang seperti ini...... Saya bertolak awal pagi bersama Abah dan kawannya iaitu YB Dato' Abd. Shukor bin Haji Sirat kerana Abah saya ingin pergi berjumpa dengan majikan saya untuk membuat perjanjian agar dapat menjamin kerja yang tetap dan kekal di syarikat tempat saya bekerja. Semua syarat dan perjanjian itu nanti akan disaksikan oleh YB di antara abah dan majikan saya.........
             Ketika dalam perjalanan abah dan YB berbincang apa yang perlu demi kebaikan saya di masa yang akan datang...... Dalam perjalanan saya lebih banyak tidur daripada mendengar apa yang mereka bincangkan........ Setelah sampai di tempat kerja saya.......abah dan YB terus bertemu dengan majikan saya, sementara itu saya pergi bertemu dengan kawan-kawan saya........ Sejurus kemudian supervisor memanggil saya untuk memberitahu bahawa saya akan bekerja di bahagian pentadbiran dan akan ada seorang pembantu yang akan menolong serta membantu saya dalam setiap kerja yang akan dilakukan nanti........ "Jangan takut le PE......kita bagi awak kerja yang senang punya......", kata supervisor kepada saya........
            Setelah hampir 2 jam menunggu baru le abah dan YB turun daripada pejabat majikan saya....... "Lamanya berbincang dan kenapa saya tidak diajak berbincang sekali.....?"....kata saya pada abah..... Abah tidak menjawab pun pertanyaan saya....... Selepas itu kami pergi ke balai polis kerana saya belum lagi membuat laporan polis selepas ditimpa kemalangan tempoh hari........ Laporan polis mesti dibuat bagi memudahkan pihak majikan atau saya membuat tuntutan kemalangan di tempat kerja kepada Perkeso. Jika tiada laporan polis semua tuntutan tidak akan di layan............ Saya akan lampirkan salinan laporan polis ini sebagai tatapan kenangan.......... Tak dapat saya bayangkan betapa sedihnya hati saya ketika itu................ Terketar-ketar tangan saya sewaktu menulis laporan kepada pihak polis....... Dan polis yang bertugas itu pun sedih ketika menaip semula laporan tulisan tangan kiri saya sendiri........kerana itulah banyak kesilapan ketika beliau menaip semula.
            Setelah semua urusan selesai.......kami pergi ke PJ Old Town untuk makan tengah hari...... Saya ajak abah dan YB makan di restoran kerana di situ ada makanan kegemaran saya iaitu kari kepala ikan dan nasi dalam daun pisang......... Saya memang selalu makan kari kepala ikan kat situ sehinggakan petugas restoran itu pun dah kenal dengan saya........tetapi hari itu tuan punya restoran tu belanja kami makan setelah dia melihat keadaan diri saya....... "Patutlah dah lama awak tak datang makan ke sini.......rupa-rupanya awak kemalangan......"...."tak apa hari ini awak dan keluarga makan.....tak payah bayar......saya belanja....", kata tuan punya restoran itu kepada saya....... Syukur alhamdulillah........
            Semasa makan abah dan YB telah menceritakan apa yang telah mereka bincangkan dengan majikan saya tadi...... Mereka nasihatkan saya agar bekerja dengan tekun serta rajin kerana majikan saya berjanji akan menjamin pekerjaan selama mana saya ingin bekerja di situ........kecuali jika saya sendiri yang ingin berhenti kerja. Saya tanya abah kenapa tak buat surat perjanjian hitam putih.........kenapa buat perjanjian sekadar di mulut sahaja....... Abah kata tak perlu kerana YB dah ada sebagai saksi dan telah mendengar semua percakapan antara abah dan majikan saya tadi....... Saya memang tidak berpuas hati dengan cara perjanjian ini dibuat........ Jika ada surat perjanjian, saya rasa lebih selamat kerana semua yang telah dibincangkan ada ditulis di dalamnya......tetapi jika perjanjian mulut sahaja tentu akan mengundang masalah di kemudian hari nanti...... Apa lagi yang boleh saya katakan........dan kita tengok dan lihat bagaimana majikan menjaga kebajikan saya sewaktu saya bekerja nanti.........?..... Saya rasa inilah satu kesilapan yang tak sepatutnya terjadi terhadap diri saya....... Mengapa saya katakan wujudnya kesilapan ini....... Ianya berlaku setelah........"manis kata dibibir saja.......tetapi hati lain bicara........"..........untuk mengetahuinya ikutilah siri-siri yang akan datang..................
                         .....................teruskan bersama PE........hari pertama bekerja......

Wednesday 3 August 2011

BALIK KAMPUNG 8

            Awal pagi lagi saya telah memakai pakaian yang kemas kerana hari ini saya akan pergi ke pekan Sg. Besar untuk membeli barang-barang keperluan sebelum saya mula bekerja nanti.......... Semasa bekerja nanti saya kena pakai baju kemeja berlengan pendek....... Kalau pakai baju berlengan panjang nanti saya perlu melipatnya menjadi pendek. Kalau tidak, nampak peliklah pula. Uniform tidak disediakan kerana saya akan bekerja di dalam pejabat.......pakaian bebas.
            Setelah selesai membeli barang-barang, saya pergi bergunting rambut....... Dari dulu hingga sekarang saya lebih selesa jika berambut pendek......... Sewaktu sedang bergunting rambut saya mendapat idea bagaimana jika saya membeli jeket untuk saya pakai dengan menutup badan saya semasa berjalan-jalan........ Sekurang-kurangnya tiada mata yang memandang atau mulut yang mengata-gata mengenai diri saya......... kerana sepanjang saya membeli barang-barang tadi........ada yang asyik memandang-mandang dan ada yang berkata-kata........."budak tu tak ada tangan le.......". Dan ada yang bertanya......"awak ni kudung dari lahir ke.....?" .....Dan yang ramai kanak-kanak bertanya kepada ibu mereka iaitu....."mak....tengok abang tu tak ada tangan..." .....Ada seorang kanak-kanak lelaki datang bertanya......."Abang.....tangan abang mana.....tak bawak ke.......? ....Sebelum sempat saya menjawab, ibu kepada kanak-kanak itu menarik tangan anaknya berlalu pergi dengan tergesa-gesa.......... Mungkin kerana dia malu dengan pertanyaan daripada anaknya itu tadi..........
            Saya tidak marah kepada mereka kerana mereka masih kanak-kanak dan tak tahu apa-apa lagi.........tetapi lain pula jika orang dewasa atau yang lebih tua daripada saya bertanya mengenai perkara ini......... Semuanya mengikut tahap pemikiran seseorang itu......... Jika orang itu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi dan sederhana..........biasanya mereka kurang bertanya...........tetapi jika orang itu mempunyai tahap pemikiran yang rendah.............merekalah yang kerap bertanya kepada saya........."mengapa tangan saya jadi begini dan berapa banyak duit pampasan yang saya dapat.........?" .......Ini adalah pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman sebenar yang saya lalui........... Saya bersedia memberi perjelasan jika mereka benar-benar bertanya dengan saya sendiri...........tetapi kebanyakannya mereka tidak bertanya kepada saya sebaliknya mereka bertanya kepada orang lain yang tak tahu cerita yang sebenarnya.......... Alasannya mereka malu atau tidak mahu menyinggung hati dan perasaan saya...........tetapi adalah lebih malu dan tersinggung lagi jika cerita yang mereka tahu itu tidak benar......... Siapa yang akan dipersalahkan..........? ......Saya juga yang akan dipersalahkan........... Ini semua adalah pengalaman sebenar saya bagaimana saya menjalani kehidupan sebagai seorang OKU.......... Tahap pemikiran masyarakat kita yang kurang membantu kami yang OKU sebenarnya...........KECUALI kepada mereka yang benar-benar ikhlas ingin membantu atau mereka yang mempunyai salah seorang ahli keluarga yang OKU........ Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana hati dan perasaan kami yang OKU..........
           Setelah selesai bergunting saya terus ke kedai pakaian untuk membeli jeket......... Saya terus memakai jeket yang baru saya beli tadi.........rasa macam lain le pulak dengan memakai jeket ni...........tetapi adakah masalah saya akan selesai dengan memakai jeket ini...........?...
                ...............teruskan bersama PE..........balik kampung 9.........

Monday 1 August 2011

BALIK KAMPUNG 7

            Sementara menunggu hari petang baru kami akan berangkat pulang...... Ada yang telah tertidur dan ada juga yang masih mandi di sungai dan ada juga yang pergi menjala ikan sekali lagi untuk mencari bekalan untuk dibawa pulang ke rumah........ Kepada yang telah tertidur ni saya telah sediakan permainan untuk mereka......... Saya telah menyediakan benang dan dihujungnya diikat sebiji garam...... Selepas itu saya buat seperti pancing........ Saya akan memancing ke mulut sesiapa yang tidur tadi tanpa mereka sedari....... Ada yang mengigit garam tersebut dan ada juga yang menjilatnya sahaja......... Perkara seperti ini memang selalu saya lakukan kepada sesiapa sahaja yang tertidur jika saya pergi kemana-mana saja ketika bersama dengan mereka......... Kadang-kadang mereka pun akan kenakan saya juga......... Selalunya apabila terjaga saya akan bertanya "banyak ke minum air garam......?" .....Mereka akan tersenyum........tanda marah atau geram kerana yang pasti saya telah "kena" kan mereka........ Mereka telah biasa dengan kenakalan yang saya lakukan...... "tunggu hari pembalasan" kata mereka kepada saya........... Dan tanpa saya sedari mereka telah mengangkat saya........ "Hoi......apa ni.....?, kata saya kepada mereka........ Mereka menjawab....."hari pembalasan telah sampai......kita angkat dia dan buang ke dalam sungai.......". Waktu tu saya bukannya berat sangat jadi mudahlah mereka mengangkat saya lalu........."....."1,2,3.......baling....."....lalu mereka benar-benar  membaling saya ke dalam sungai......... "kah...kah...kah.......rasakan.......kamu minum air kopi pekat le pulak...." ......Kawan-kawan yang memang telah ada di dalam sungai........datang membantu saya......apabila melihat saya yang telah dibaling tadi......... Itulah kenangan indah kenakalan saya dengan kawan-kawan......
             Setelah selesai solat asar kami sekali lagi menjamu selera.......makan ubi bakar dengan minum air kopi panas.......tetapi sehingga kini mereka tak tahu bahawa air kopi yang saya bancuh itu adalah daripada air sungai gambut tersebut...... Saya hanya tambah sikit serbuk kopi serta gula......hanya saya seorang sahaja yang tahu perkara ini dan saya tidak menceritakan kepada sesiapa.......sehingga kisah ini saya tulis...... Waktu itu saya hanya ketawa di dalam hati........ Padan muka mereka......suka-suka aje buang "tukang masak" ke dalam sungai....... Tetapi akibat terlalu seronok.........terlupa saya mengenai kopi tersebut......lalu saya pun terminum juga akhirnya........ Padan muka saya......!!....Tetapi ok.......sedap juga air kopi sungai gambut ni.......kawan-kawan saya yang lain siap tambah lagi ketika minum......... Setelah selesai makan dan minum petang kami semua berkemas untuk pulang........
            Tepat jam 6 petang kami semua memulakan perjalanan pulang dengan berjalan kaki...... Dalam perjalanan pulang masing-masing bercerita kisah yang kami lalui pada hari ini....... Seperti biasa kami lewat setengah jam ketika sampai ke kedai tempat kami meletak motor pagi tadi........ Setelah sampai kami mengisi borang yang menyatakan kami telah sampai dengan selamat dan cukup ada semuanya semasa pergi dan balik....... Itu adalah antara peraturannya jika ada sesiapa yang ingin pergi masuk ke dalam hutan......
             Oleh kerana tuan punya kedai kopi itu mengenali saya kerana dia kenal Atuk, kami ditawarkan makanan dan minuman percuma.......tetapi saya memohon maaf kerana terpaksa menolaknya disebabkan dah tak sempat. Hari dah hampir senja dan waktu maghrib pun dah nak masuk...... Elok kami cepat-cepat pulang sebelum hari dah gelap nanti lagi susah kerana lampu motor kami tak berapa terang sangat........ "Terima kasih le pak cik.....mungkin lain kali kami singgah minum......".....kami jalan dulu...... "Assalamualaikum.......semua.....".
              .................teruskan bersama PE.........balik kampung 8.......

Thursday 28 July 2011

BALIK KAMPUNG 6

            Sebelum berakhirnya hari percutian saya di kampung Peket 20, berbagai persiapan saya lakukan sebagai persediaan untuk memulakan hari pertama bekerja saya setelah menjadi OKU........ Bermacam-macam perkara yang saya fikirkan sebelum mula bekerja....... Apa-apapun saya tidak boleh terlalu memikirkan perkara ini selagi saya belum mula bekerja......... Walaupun senang atau susah.....semuanya akan saya hadapi........ Saya ni susah hati bukan kerana apa........tetapi saya susah hati kerana takut......boleh atau tak boleh pekerjaan ini saya lakukan......?.
           Sedang saya memikirkan perkara ini........kawan-kawan saya datang mengajak saya pergi ke dalam hutan seberang sungai menghala ke ban Parit 4......... Dah lama juga saya tak masuk hutan ini....... Saya pun menyediakan peralatan yang perlu dibawa....... Setelah memberitahu kepada ahli keluarga saya yang kami nak pergi ke hutan, kami pun bertolak dengan menaiki lebih kurang 5 buah motor........ Seramai 10 orang yang pergi ke hutan itu...... Sebelum masuk hutan kami beritahu kepada pasukan rela yang sentiasa ada di kedai terakhir sebelum kami masuk ke hutan sebagai persediaan jika terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku kepada kami........ Jika kami tidak keluar sebelum jam 7 petang.........itu tandanya ada masalah yang kami hadapi ketika berada di dalam hutan itu....... Selalunya kami akan lewat keluar..........tetapi bukan kerana ada masalah tetapi kami terlalu leka ketika berada di dalam hutan tu yang suasananya begitu melekakan jika berada di sana.......... Setelah mencatatkan semua nama kami serta nama ahli keluarga untuk dihubungi........kami meletakkan motor di kedai tersebut kerana kami akan berjalan kaki sahaja untuk masuk ke dalam hutan........
            Setelah berjalan lebih kurang 1 jam 30 minit, kami tiba di tempat yang sering kami kunjungi dulu........ Semakin indah tempat ini kerana di sini ada tempat perkhemahan dan sungai yang airnya seperti kopi O....... kerana hutan ni tanah gambut....... Itu sebab airnya macam kopi O........ Harap-harap ada ikan dalam sungai dan boleh le kami buat ikan bakar........ Setelah memilih tempat yang sesuai kami mendirikan khemah.......... Selepas tu masing-masing buat aktiviti yang amat digemari oleh kami semua iaitu mandi sungai......... Mandi sungai di tanah gambut ini berbeza sikit kerana jika kami terjun aje ke dalam sungai tu.....airnya akan menjadi keruh seperti kopi pekat......... Itulah keistimewaannya mandi sungai di tanah gambut.
           Setelah selesai mandi saya masak nasi....... Kawan-kawan saya pergi menjala ikan........ Selalunya kat sungai ni banyak ikan baung, haruan, puyu atau sepat dan kawan-kawan yang lain pergi cari buah-buahan yang boleh dimakan di dalam hutan ini.......... Hutan ini bukan milik persendirian kerana itulah saya rasa kami boleh buat apa sahaja di sini......... Dengan syarat kami kena jaga kebersihan di mana tempat kami berkhemah........ Rezeki kami memang murah kerana kawan saya mendapat banyak ikan haruan dan sepat untuk dibakar dan separuhnya saya buat sup........ Banyak lauk untuk kami makan......... Nasi pun dah siap di masak....... Bab masak-memasak ni memang saya yang uruskan kerana kawan-kawan kata........saya pandai memasak....... Kami tunggu kawan-kawan yang mencari buah pulang, barulah kami akan makan bersama-sama........ Sementara menunggu mereka pulang..........saya terjun lagi mandi sungai..........
           Kawan-kawan yang mencari buah pulang.........tetapi tak ada rezeki kami untuk makan buah pada kali ini........ Mereka kata macam dah ada orang lain datang cari buah-buahan kat sini........ Setelah selesai solat zohor berjemaah.........selalunya kami akan sentiasa solat berjemaah........ke manapun kami pergi solat tidak pernah kami lupakan dan kompas untuk melihat arah kiblat sentiasa ada kami bawa......... Selepas solat kami pun makan nasi, ikan bakar dan sup ikan......... Makan beramai-ramai ini adalah saat yang paling seronok dirasakan kerana waktu inilah kami semua akan bergurau senda sambil menikmati rezeki yang ada....... Setelah selesai makan kami semua berehat dan ada yang tidur dulu setelah kekenyangan.......
             ................teruskan bersama PE...........balik kampung 7............

Tuesday 26 July 2011

BALIK KAMPUNG 5

            Percutian saya di kampung tinggal beberapa hari saja lagi dan selepas itu saya akan balik ke PJ kerana saya akan mula bekerja setelah bercuti selama 2 minggu........ Sebelum pulang saya ingin menghabiskan percutian di kampung ini dengan melakukan beberapa aktiviti kampung yang sering saya lakukan dulu....... Antara nya saya telah berjanji dengan kawan-kawan untuk pergi mencari "lopak".  Aktiviti ini adalah yang paling kami suka lakukan........ Mungkin anda juga pernah melakukan aktiviti ini...... Kepada yang belum pernah merasa pengalaman ini......?... Tak apa........kita berkongsi pengalaman dan cerita di sini.....
            Selalunya kami akan pergi ke sawah padi, tali air atau parit yang airnya hampir nak kering..... Tempat inilah yang kami panggil lopak......... Selepas itu kami akan timba airnya untuk dibuang sehingga kering kerana di dalamnya pasti ada banyak ikan-ikan sungai yang terperangkap di dalam lopak itu........ Lagi banyak airnya kami timba untuk dibuang lagi mudahlah kami mengutip ikan-ikan yang ada di dalam lopak seperti haruan, sepat, puyu, ikan keli, dan udang galah........tetapi berhati-hati kerana mungkin ular dan belut pun ada....... Sebelum mengeringkan air lopak itu kami akan memasang jerat buloh untuk memerangkap ular atau belut sebagai langkah persediaan agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kerana takut-takut ada ular yang berbisa.......tetapi selalunya ular tanah yang banyak.......... Biasanya jika ada ular atau belut kami akan pindahkan ke tempat lain kerana jika tidak dipindahkan pasti ular dan belut itu akan mati kerana lopak itu akan menjadi kering-kontang selepas kami timba airnya........
            Setelah selesai menangkap ikan biasanya kami akan berkongsi dengan membahagi sama rata setiap hasil tangkapan yang kami dapat untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing....... Jika dapat banyak..... banyaklah ikan yang akan dibawa pulang tetapi jika tiada ikan.......masing-masing tak dapat apa-apa........ Biasanya jika tiada apa-apa ikan yang dapat.......saya akan menjala saja sebelum balik kerumah......... Jala memang sentiasa ada dibawa sebagai persediaan jika tiada lopak yang ditemui............ Tetapi saya amat seronok dengan semua pengalaman yang saya lalui.......... Sebagai seorang budak kampung semua pengalaman ini memang tidak akan dapat saya lupakan..........
            Bagaimanapun dengan peredaran masa yang berlalu........semuanya itu telah tiada lagi di kampung saya kerana sekarang ini tiada lagi gotong royong menanam dan menuai padi......... Semuanya telah diambil alih oleh mesin.......... Tiada lagi "rewang" semasa kenduri kerana semuanya telah mengunakan khidmat katering........ Tiada lagi kesejukan air sungai yang mengalir kerana sungai telah dipenuhi dengan  pokok-pokok nipah dan segala macam sampah yang ada kerana sungai sudah tidak dijaga lagi kebersihan dan kejernihan airnya yang mengalir.......... Alangkah sayangnya sungai ini kerana airnya ada ketikanya menjadi air tawar dan ada ketikanya pula menjadi air masin kerana di muaranya adalah laut........... Ini disebabkan sekarang ini semua saliran air ke sawah padi telah menggunakan palong........... Inilah yang ruginya kerana generasi yang akan datang tidak akan dapat merasai dan mengenali semuanya itu..........
            Kemajuan dan pembangunan yang ada telah melenyapkan semuanya itu...........dan tiada lagi kemeriahan seperti dulu kerana anak-anak muda telah pergi ke bandar untuk belajar atau bekerja..........yang tinggal hanyalah orang-orang tua, pakcik dan mak cik............ Apa lagi yang mereka harapkan........?........ Hanya menanti kepulangan anak-anak...........itupun jika ada ingatan serta kasih sayang daripada anak-anak atau meneruskan sisa-sisa hidup mereka yang masih ada.........?.......... Saya pun akan menjadi seperti mereka juga suatu hari nanti.........dan tidak tahu lagi apa yang saya harapkan........?.
              ..............teruskan bersama PE...........balik kampung 6.......

Monday 18 July 2011

NOSTALGIA 2

            Kisah kami berempat makan ayam kampung tu rupa-rupanya menjadi cerita hangat kawasan perumahan tempat mak cik tu tinggal........sehinggakan ramai yang bertanya betul ke dengan apa yang telah kami lakukan pada ayam kampung mak cik tu...?..... Semakin lama semakin banyak cerita yang kami dengar.......macam nak balas dendam aje mak cik tu pada kami berempat....... Saya tanya pada Along macam mana nak buat ni? .......Dan siapa pulak yang nak menjadi menantu kesayangan mak cik tu nanti......?. Along diam aje tak kata apa-apa....... Buat masa ini kami mendiamkan diri aje kerana memang salah kami dan kami pun telah mengaku tetapi tak sangka pula mak cik tu seolah-olah mengambil kesempatan dengan sikap kami yang mendiamkan diri sahaja selama ini......tetapi kami sedang memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk kami berempat.....?.
            Setelah melihat keadaan semakin menjadi-jadi dengan cerita panas yang sengaja mak cik tu tujukan kepada kami berempat kerana sekarang ni jika ada aje ayam kampung mak cik tu yang hilang pasti kami berempat yang akan dituduh dahulu..... Saya cadangkan kepada Along agar kami berpindah saja daripada rumah ni kerana saya takut nanti jika ada apa-apa perkara lain yang berlaku nanti kami juga yang akan dipersalahkan......
            Tetapi Along kata macam mana nak pindah kerana rumah yang kami sewa itu adalah rumah sewa mak cik tu...... Ini bermakna kami kena beritahu pada mak cik tu juga jika ingin berpindah atau kami tinggalkan aje rumah tu tanpa memberitahu pada mak cik itu....... Jika demikian ini bermakna duit 'deposit' sewa rumah, api dan air akan dikira hilang tanpa dikembalikan......?... Adik Along pula bagi idea.... Apa kata duit sewa bulan depan kita bagi alasan bayar sewa lewat sikit....lepas tu kita keluar aje daripada rumah ni tanpa membayar sewa pada mak cik tu.......?.
            Kami cuba fikir cara lain dulu kerana kalau boleh biarlah kita pergi dari sini dengan cara yang paling baik tanpa menyakitkan hati sesiapa pun terutama mak cik tu......?... Lain kali jika kami memerlukan bantuan daripada mak cik tu......tentu mak cik tu dah tak mahu tolong kami lagi......tentu susah jadinya..... Mak cik tu baik cuma mulut dia aje suka membebel....... Lagipun bukan ke kami ni salah seorang menantu pilihan mak cik tu........?.
             Sehinggalah pada suatu hari Along menerima surat tawaran belajar...... Syukur alhamdulillah ada le alasan kita untuk keluar daripada rumah ini dengan menyatakan Along akan melanjutkan pelajaran ke tempat lain demi cita-cita yang Along impikan selama ini....... Setelah berbincang kami berempat setuju untuk pergi ke rumah mak cik tu untuk memberitahu hasrat kami semua untuk pindah daripada rumah tersebut kerana Along akan tinggal di tempat lain.....dan kami juga akan cari tempat tinggal yang lain. Sebenarnya itulah alasan yang paling sesuai mengapa kami tak nak tinggal menyewa lagi di rumah mak cik tu....... Mak cik tu tanya bagaimana dengan hasrat dia untuk menjadikan kami salah seorang daripada menantu dia.......?. Saya kata jika ada jodoh tak ke mana mak cik.......?. InsyaAllah Along sedia menunggu kerana saya rasa Along lah yang paling layak dan sesuai pula dengan sifatnya yang pemalu selama ini......?.... Heheheheeeee...........dan selepas itu Along terus mengejar saya kerana........kata Along, "orang nak elak semua ni dengan keluar daripada rumah mak cik tu tetapi dia pula pandai-pandai.........muafakat dengan mak cik tu nak jodohkan Along dengan anak mak cik tu............tak guna mu PE".........
          ...............teruskan bersama PE.......balik kampung 5........

Friday 15 July 2011

NOSTALGIA 1

            Ucapan Terima Kasih yang saya paparkan baru-baru ini menerima banyak ucapan tahniah kerana mereka tak sangka saya pernah menjadi seorang penulis dan ada juga yang hantar email bertanya....."Along tu siapa.....?"....dan yang paling mengejutkan "Along yang sebenar" dalam nostalgia tu hantar sms suruh cerita kisah ayam jiran yang hilang sewaktu kami tinggal di rumah bujang dulu.........
            Along yang dalam nostalgia tu telah saya anggap seperti abang saya sendiri kerana kebetulan nama bapa kami sama........ Along telah berkeluarga dan sekarang tinggal di Puchong........... Kami memang rapat dari bujang sehingga kini....... Along ni seorang yang pemalu........ Along dah pesan jangan banyak cerita kisah dia..........
             Sewaktu saya dan Along tinggal menyewa di Taman Dato Harun, PJ.....kami menyewa rumah itu seramai 4 orang.......seorang lagi adik Along serta kawan dia......... Kebetulan hari tu hari minggu kami tidak pergi ke mana-mana kerana maklum le belum dapat gaji lagi.... Duit tak ada kalau nak pergi ke mana-mana.... Duduk rumah aje le kami hari tu........ Kebetulan hari tu ada seekor ayam jiran sebelah tu lalu-lalang aje depan rumah kami........ Along jeling pada saya tanda meminta idea bagaimana nak buat dengan ayam yang lalu- lalang di depan rumah ni......... Saya pun tanya pada Along...."boleh sembelih ayam ke...."...."boleh"....balas Along pada saya........ "cantik le.......macam ini".... Saya pun bisik kat telinga Along........ Along angguk tanda setuju...... "Kita bagi ayam ni makan dulu.......kita taburkan makanan sehingga ke dalam rumah....... Lepas tu bila ayam tu dah masuk ke dalam rumah......apa lagi Along........cepat....cepat.....tutup pintu....... "Tangkap cepat.......tangkap cepat sebelum ayam tu terlepas......"....."dapat......dapat ayam ni....." balas adik Along....... "Apa lagi......pergi ambik pisau kat dapur tu.....bagi along sembelih....", balas saya.
               Hari tu kami berempat makan ayam kampung jiran sebelah......Along yang masak.....goreng aje kata Along..... Dah lama kami tak makan ayam kampung goreng......makan panas-panas memang sedap..... Hari tu kami nikmati ayam kampung goreng dengan nasi putih........cicah dengan sos cili.....macam ni pun sodap.......
              Selang beberapa hari......sehinggalah pada suatu petang......."mak cik jiran sebelah tu datang bertanya ada nampak ke ibu ayam kampung yang dia bela selama ini......?... Mak cik tu membebel mengenai kehilangan ibu ayam kampung nya...... Serentak dengan itu kami berempat menjawab...."kami tak tahu langsung mengenai ayam tersebut.....". Saya tanya Along nak buat macam mana ni...... Kita buat tak tahu aje le....nak buat macam mana lagi........ayam tu kita dah makan.....bila tiba masa yang sesuai seperti hari raya nanti kita mohon maaf le kat mak cik tu.......
              Syukur alhamdulillah kami berkesempatan memohon maaf pada mak cik tu semasa sambutan hari raya setahun selepas peristiwa tersebut...... Mak cik tu maafkan kami tetapi dengan satu syarat salah seorang daripada kami mesti berkahwin dengan salah seorang anak dara mak cik tu.........?. Masing-masing memandang antara satu sama lain........ Mak cik tu mempunyai ramai anak dara........yang mana satu yang dia nak jodohkan ni.......... Macam mana ni......?...ingatkan dah selesai tetapi mak cik tu bagi satu syarat yang selama ini tidak pernah kami semua fikirkan.......... Kami semua belum terfikir lagi mengenai soal jodoh ni....... Siapa pulak yang akan terpilih menjadi menantu kesayangan mak cik ni.........?...........
             Ikutilah kisah yang seterusnya dalam siri-siri yang akan datang...... Anda akan tau siapakah yang bertuah menjadi menantu kesayangan mak cik tu......?.
              ...................teruskan bersama PE..........nostalgia 2......