Friday 14 June 2013

RAGAM PEKERJA ASING 2

          Telah menjadi tugas seharian saya setiap hari akan menerima aduan serta masalah setiap pekerja yang ada samada daripada pekerja tempatan atau pekerja asing. Setiap hari sekurang-kurangnya 1 jam saya akan bersama mereka untuk mendengar masalah mereka. Sehinggakan ada yang menghadapi masalah peribadi pun akan mencari saya untuk meluahkan perasaan mereka. Pekerja asinglah yang paling banyak mengadu sehinggakan dah dapat kelambu baru pun masih ada masalah lagi.
          Walaupun mereka boleh tidur nyenyak tanpa gangguan daripada nyamuk lagi tetapi pekerja asing ini tidur terlalu lasak sehinggakan ada yang terjatuh dari katil. Akibatnya kelambu koyak dan pihak majikan tidak akan memberikan apa-apa rawatan jika mereka terjatuh dari katil dan kelambu baru juga tidak akan dibekalkan lagi jika kerosakkannya akibat daripada keganasan mereka sewaktu tidur.
          Majikan telah memberikan peringatan kepada saya agar tidak memanjakan mereka ini. Tetapi saya memberikan cadangan agar segala rawatan dan pembelian kelambu baru untuk mereka dibayar oleh majikan tetapi selepas itu gaji mereka akan dipotong mengikut kos rawatan dan pembelian yang ada. Selepas itu mereka tidak lagi mengadu dan telah bersikap berhati-hati agar gaji mereka tidak dipotong. Itu saja cara untuk mendidik mereka agar bersikap baik.
          Setelah beberapa lama bekerja dengan pekerja asing ini kami dapat mewujudkan rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Ini saya sedari apabila mereka begitu mengambil berat terhadap diri saya...... dan apa saja arahan yang saya berikan, mereka akan patuh dan melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan begitu rajin sekali.
          Kerjasama yang baik antara kami memudahkan segala urusan kerja di bahagian pengurusan dan pentadbiran....... Ini kerana saya boleh menggunakan seluruh tenaga kerja mereka mengikut keperluan dan bekerja lebih masa jika keadaan memerlukan...... Mereka sanggup bekerja lebih masa bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan yang lebih. Jika saya suruh mereka buat "OVER TIME (OT)" sudah pasti mereka akan gembira......Tetapi saya pula yang tidak seronok kerana saya terpaksa balik lewat..... Kadang-kadang terpaksa tidur di tempat kerja untuk memastikan segala urusan kerja tidak mengalami sebarang masalah.
          Begitulah cara kami bekerja tanpa memikirkan masalah yang lain asalkan pengeluaran dan penerbitan majalah atau buku dapat dikeluarkan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan. Tetapi bagaimana pula jika kita bekerja dengan pekerja tempatan......?... Ikuti kisah seterusnya...........teruskan bersama PE........ .....Ragam pekerja tempatan

Wednesday 5 June 2013

RAGAM PEKERJA ASING

          Kepada sesiapa yang pernah mengambil dan menguruskan pekerja asing, sudah pastinya akan mengalami dan melalui pelbagai pengalaman serta kerenah mereka yang bermacam-macam ragam. Pengalaman selama 10 tahun saya menguruskan 15 orang pekerja asing di tempat kerja saya ini, bermacam-macam kerenah mereka yang terpaksa saya hadapi..... Selama 10 tahun itu jugalah saya faham mengapa majikan saya sangat bergantung dengan pekerja-pekerja asing ini kerana sebelum ini pekerja-pekerja tempatan kurang berminat untuk bekerja di sini..... Mungkin disebabkan mereka lebih berminat dengan kerja yang berpakaian kemas, kerja yang senang dan tempat kerja yang berhawa dingin. Jika ada pekerja tempatan yang datang bekerja pun mereka tidak akan lama bekerja.....  Tidak lama kemudian mereka akan berhenti.
          Mengikut rekod catatan saya, paling lama mereka akan bekerja ialah selama 3 bulan dan yang paling singkat cuma 2 hari sahaja. Bila timbul masalah ini pihak syarikat memohon pengambilan 15 orang pekerja asing lelaki warga Bangladesh. Terkejut saya pada suatu hari..... di dalam bilik tempat saya bekerja ada 8 orang pekerja asing bagi pengambilan pertama dan bakinya 7 orang lagi akan sampai pada minggu depan.
          Pengambilan mereka diuruskan oleh agen bertauliah yang telah diluluskan oleh kerajaan. Awal-awal lagi majikan telah memberikan tugas dan tanggungjawab kepada saya untuk menguruskan pekerja asing ini. Setelah memberi penerangan serta tunjuk ajar dengan bahasa "rojak" yang saya guna.....entah faham ke tidak saya pun tak pasti, tapi yang pasti mereka mengangguk-anggukkan kepala sahaja.
          Pada hari itu bermulalah episod saya menguruskan semua hal ehwal pekerja asing yang ada di syarikat ini. Mereka tinggal di asrama yang disediakan dengan segala kelengkapan serta kemudahan seperti tv, peti sejuk dan tempat memasak. Majikan saya menyediakan asrama tempat tinggal mereka betul-betul di tingkat atas pejabat saya agar memudahkan saya menjaga serta mengawasi segala pergerakan dan kelakuan mereka semasa bekerja..... Ini juga demi keselamatan kerana ada ramai pekerja wanita tempatan yang bekerja di sini.
          Setelah menyusun serta mengatur kerja mereka mengikut bahagian serta kepandaian yang mereka miliki, itu pun setelah saya perolehi dalam fail biodata mereka..... mereka pun memulakan kerja pada hari pertama dan seterusnya tanpa sebarang masalah. Jika ada apa-apa masalah sayalah orang pertama yang akan mereka temui...... Selepas itu barulah segala masalah mereka akan saya sampaikan kepada majikan saya. Sehinggalah masalah mereka tidak boleh tidur malam kerana nyamuk terlalu banyak..... Bagaimanapun majikan saya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan masalah mereka ini sehinggalah Jabatan Kesihatan datang untuk melakukan pemeriksaan nyamuk aedes...... Bila dah kena denda barulah pekerja asing ini mendapat kelambu baru. Walaubagaimanapun setelah mereka mendapat kelambu baru dan boleh tidur dengan nyenyak tanpa gangguan nyamuk lagi tetapi mereka ini masih menghadapi masalah yang lain pula.......... Jika ingin mengetahuinya...........teruskan bersama PE...........Ragam pekerja asing 2.